Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata peningkatan itu berikutan kajian semula dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam sektor awam bagi OKU pada 2010, termasuk tindakan lebih efektif bagi memastikan pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.
Katanya, kerajaan memperkenal dasar itu pada 1988 bagi membantu golongan OKU yang berkelayakan, bekerja dan memegang jawatan sesuai dalam sektor awam.
Sistem Penempatan OKU
“Selain itu, Jabatan Buruh memperkenalkan pendaftaran pekerjaan secara dalam talian dan sistem padanan yang dikenali sebagai Sistem Penempatan OKU bagi sektor swasta. Sejak diperkenal pada 1990, sejumlah 13,339 OKU berdaftar dan 9,074 orang berjaya ditempatkan untuk bekerja di sektor itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Mengenai Kesedaran Matlamat Pembangunan Milenium dan Lain-Lain Matlamat Pembangunan yang Dipersetujui Bersama di Peringkat Antarabangsa bagi OKU di New York, Isnin lalu. Kenyataan itu diedar kepada media di sini, kelmarin.
Terus perkasa ekonomi
Rohani berkata, kerajaan akan terus memperkasa ekonomi golongan OKU melalui program berkaitan bagi mempertingkatkan taraf hidup mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan geran pelancaran maksimum sebanyak RM2,700 untuk menggalakkan OKU menceburi bidang perniagaan.
Mengikut statistik dari 2007 hingga tahun lalu, katanya, seramai 1,027 OKU mendapat manfaat daripada geran terbabit.
“Sejumlah 914 OKU pula menerima bantuan melalui Skim Galakan Bantuan Perniagaan bagi OKU oleh Kementerian Sumber Manusia dan berjaya mencipta peluang pekerjaan untuk 1,597 OKU,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment