
Nick Vujicic, penceramah motivasi tanpa lengan dan kaki telah datang ke Malaysia beberapa hari yang lalu atas undangan Jeffrey Cheah Foundation untuk memberikan ceramah di Sunway Campus. Berikut ini terjemahan laporan artikel Astro Awani mengenai lawatan dan ceramah Nick di Sunway Campus, Petaling Jaya pada 22 Mei 2013.
PETALING JAYA: Penceramah motivasi terkenal sedunia Nick Vujicic
terus menyampaikan mesej "pengharapannya" kepada anak-anak muda
Malaysia, memberitahu negara ini bahawa ianya dapat mencapai lebih
tinggi lagi tanpa perlu menunggu pihak lain.
Vujicic, pengasas berusia 30 tahun pertubuhan 'Life Without Limbs',
berada di Malaysia pagi ini untuk menceritakan kisah hidupnya yang
menginspirasikan kepada beberapa ribu pelajar Sunway University, dengan
ceramahnya disiarkan secara langsung juga di dewan-dewan kuliah di Johor
dan Ipoh.
Penginjil Kristian itu hanya menghabiskan masa sehari di Malaysia, telah
tiba pada 7 malam semalam, dan berlepas ke Vietnam untuk satu lagi
ceramah pada malam ini.
Lebih daripada seribu pelajar memenuhi
auditorium kampus sambil Vujicic membuat para hadirin terkejut, tertawa
dan menangis dengan kisahnya yang penuh pengharapan, kasih dan iman.
Menceritakan kisah keadaan dirinya, kesan daripada suatu penyakit yang
jarang ditemui, dengan ketiadaan kedua-dua lengan dan kakinya, Vujicic
membuat para hadirin ketawa dengan satu kisah bagaimana dia menjawab
seorang kanak-kanak yang bertanya kepadanya, "Apa terjadi (kepadamu)?"
dengan jawapan ringkas, "Rokok!" Dia juga menceritakan bagaimana pada
suatu kali dia membuat seorang wanita dalam kereta di sebelah keretanya
menjadi hairan, dengan berpusing tubuhnya 360 darjah.
"Aku mahu memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menolong
rakyat Malaysia," kata Vujicic menjawab soalan mengenai harapannya untuk
kemajuan Malaysia.
"Setiap negara, di setiap peringkat dapat terus maju. Kita bercakap
tentang kesedaran tentang kurang upaya, integrasi dan lebih harapan
untuk rakyat, ini termasuk negara Australia dan Amerika Syarikat,"
tambahnya.
Vujicic berkata bahawa setiap negara mempunyai banyak keperluan, tetapi
daripada menunggu pihak yang lain untuk menolong, kita perlu menjadi
orang pertama untuk menolong orang-orang kita sendiri.
Misi dan fokusnya ialah generasi yang seterusnya dan bagaimana setiap
anak-anak muda dapat mencapai 'kebenaran berkenaan nilai mereka' dengan
memberi fokus pada hala tuju masa depan mereka.
Dengan nada lebih serius, Vujicic juga menceritakan bagaimana dia menimbangkan untuk membunuh diri pada umur lapan tahun dan mencubanya dua tahun kemudian.


