Wednesday, 26 September 2012

Pegawai OKU Cacat Penglihatan JAKIM Berjaya Tamatkan Sarjana Syariah

 
 
Ustaz Mohd Kalam Mazad bin Abdul Rahman bersama tesisnya yang bertajuk 'Methodologi Pengajian Syariah Di MARSAH, Johor Bahru'.....ihsan dari JAKIM

Tahniah PTSS KHK HOTKAT ucapkan kepada Ustaz Mohd Kalam Mazad bin Abdul Rahman; Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM yang juga antara kakitangan Orang Kurang Upaya (OKU) JAKIM kerana telah berjaya menamatkan Sarjana Syariah beliau dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada bulan November ini. 

Kejayaan beliau menamatkan sarjana beliau sekaligus melayakkan beliau untuk dianugerahkan Ijazah Sarjana Syariah dalam Fiqh dan Usul di Universiti Malaya. Perkara ini bukan sahaja membanggakan PTSS KHK HOTKAT tetapi turut menjadi inspirasi kepada semua kakitangan PTSS KHK HOTKAT atas kegigihan beliau dalam meneruskan pembelajaran sehingga ke tahap sarjana walaupun dimaklumi beliau kurang upaya kerana cacat penglihatan. Beliau sebelum ini telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti yang sama dalam pengkhususan Syariah.

Ustaz Mohad Kalam Mazad telah berjaya menyiapkan tesis beliau dengan tajuk 'Methodologi Pengajian Syariah' di bawah seliaan Prof Madya Dr. Rahimin Afandi bin Hj Abdul Rahim; Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau dijangka akan bergelar graduan Sarjana pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya tahun hadapan. Tahniah PTSS KHK HOTKAT ucapkan. Semoga menjadi satu anjakan paradigma kepada pelajar KHK HOTKAT PTSS....

Pelajar OKU ( bisu dan cacat pendengaran) berjaya padam kebakaran







 Shah Alam SELANGOR -- Percaya atau tidak berlakunya kebakaran serentak di bangunan sama di lokasi berbeza? Difahamkan kebakaran telah berlaku di asrama putera SM Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Selangor pada jam kira-kira 7.00 petang ketika pelajar sedang bersiap sedia mengemaskan diri untuk bergerak ke surau untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Kebakaran pertama berlaku di rumah warden melibatkan langsir yang terbakar berdekatan dengan suis lampu dan kipas di dalam rumah tersebut. Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan oleh pelajar manakala kebakaran yang kedua telah dilaporkan berlaku di dalam Dorm Iswara tingkat satu melibatkan tilam, bantal dan cadar. Kebakaran tersebut juga berjaya dipadamkan oleh pelajar.

Ketua Balai yang turut hadir menyifatkan tindakan berani yang diambil oleh pelajar terbabit yang berani memadamkan menggunakan alat pemadam api ketika kebakaran masih kecil adalah tindakan yang wajar dan bijak. Terjemahan komen Ketua Balai melalui isyarat tangan oleh Ketua Warden mendapat sorakan dari pelajar sekolah tersebut.

Kesemua pelajar sekolah tersebut adalah OKU (bisu dan cacat pendengaran). Tiada kecederaan dilaporkan manakala punca dan tafsiran kerugian masih dalam siasatan.....Ihsan dari TV3

TIADA ALASAN UNTUK OKU BERJAYA


OKU: ‘Kami boleh berjaya!’

Wanita berumur 36 tahun dari Taman Air Molek, Melaka yang memiliki perniagaan andaman sendiri, Yus’Iman Collection ini bercerita bagaimana dia bermula dari bawah untuk mengukuhkan perniagaannya.

“Saya mula berniaga pada 2007, buat kecil-kecilan saja di rumah. Biasa la masa baru-baru berniaga, tak be-rapa dapat sambutan. Tapi saya kumpul duit setahun untuk beli barang perniagaan.

“Ditambah pula dengan modal RM2,600 yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya dapat beli barang mekap berkualiti, dan lepas tu barulah saya yakin nak terima pelanggan,” katanya.

Menurut Yusnani, pada 2010, dia memohon bantuan RM11,000 daripada kerajaan untuk membesarkan perniagaan dan mula membeli baju pengantin serta pelamin.

“Selain andaman, saya juga jual kek yang dibuat sendiri selepas ikuti kursus JKM dan dapat mesin pembuat kek,” katanya.

Yusnani berkata, suaminya, Zahiruddin Kamarudin, 37, yang bertugas sebagai posmen banyak membantu dalam perniagaan.

“Suami akan ikut saya untuk beli barang perniagaan, dan tolong sebarkan risalah perniagaan saya,” katanya yang hilang penglihatan sebelah mata.

Ditanya mengenai cabaran dunia perniagaan, Yusnani berkata, dia tidak menghadapi masalah besar dan menganggap jatuh bangun dalam dunia perniagaan sebagai perkara biasa

Tokoh OKU Minta Ibu Bapa Jangan Bezakan Anak Kelainan Upaya


mSTAR
Selasa April 6, 2010
Tokoh OKU Minta Ibu Bapa Jangan Bezakan Anak Kelainan Upaya

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman (dua, kanan) menyampaikan anugerah kepada Tokoh Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) 2009, peringkat Negeri, Tuah Atan pada majlis Sambutan Hari OKU peringkat Negeri di Stadium Bistari, Ayer Keroh, hari ini. Turut sama ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Sulaiman (kanan). - Foto BERNAMA

MELAKA: Tuah Atan, seorang peguam yang hari ini dinamakan Tokoh OKU Melaka 2009, meminta ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya supaya jangan sekali-kali membezakan mereka dengan anak-anak yang lain.

Katanya walaupun beliau dilahirkan dengan kecacatan namun kejayaannya adalah kerana ibu bapanya yang tidak kecewa atau berputus asa dengan keadaan dirinya.

"Saya rasa kanak-kanak OKU macam saya, kalau tak ada ibu bapa yang beri sokongan dan kasih sayang serta kefahaman, agak sukar untuk kita maju dan keluar dari kepompong kecacatan," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu daripada isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abdul Rahman pada sambutan Hari OKU di sini hari ini.

Tuah, 49, dilahirkan di Tanjung Kling dekat sini dengan hanya tangan kanan yang sempurna, tanpa kedua-dua kaki dari paras lutut manakala tangan kirinya hanya pada paras siku.

Beliau adalah pemegang ijazah sarjana muda (kepujian) undang-undang dan kini mempunyai dua pejabat firma peguam iaitu satu di Kuala Lumpur dan satu di Melaka.

Anak keempat dari sembilan beradik ini pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Tokoh Maal Hijrah (Profesional) pada tahun 1997 dan 2008.

Tuah berkata bahawa sejak bapanya, Atan Semilang, seorang pesara polis meninggal dunia lima tahun lepas, ibunya Mariam Karim, 72, adalah segala-galanya bagi dirinya.

"Emak tinggal di Seremban dan adalah orang pertama yang saya akan telefon setiap hari sebaik memasuki pejabat untuk bertanya khabar sama ada beliau sihat.

"Emak tak pernah membenci saya, ketepikan dan abaikan saya kerana kecacatan saya sebaliknya mengajar saya tentang kasih sayang ketika mendidik dan membimbing saya," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun bersama isterinya yang juga seorang peguam.

Tuah berkat OKU yang ingin mencipta kejayaan perlu berpegang kepada kepada pepatah "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

Pada majlis hari ini juga, Latib Md Isa diumumkan sebagai Tokoh Usahawan OKU manakala anugerah Tokoh Pekerja OKU dimenangi Hashim Ishak, seorang pegawai khidmat pelanggan di Jabatan Penerangan Melaka. - BERNAMA

Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (OKU)





Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (OKU) Mahadzir Derani Abdul Ghani (tiga kiri) menerima ucapan tahniah daripada para penerima yang lain selepas Perhimpunan Hari Pekerja 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sabtu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Meskipun menghadapi penglihatan terhad sejak dilahirkan, kecacatan itu tidak menghalang Mahadzir Derani yang kini berusia 40 tahun untuk berjaya dalam kerjayanya.

Beliau merupakan pekerja di Bank Pembangunan di sini dan mula berkhidmat sebagai kerani rendah sejak 1992 dan sehingga kini telah dinaikkan pangkat menjadi Operator Telefon.

Tekad kesungguhan dan kecemerlangan dalam kerjanya beliau telah mendapat Anugerah Pekerja Cemerlang 2011 (Kumpulan Orang Kelainan Upaya). Anugerah telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Pekerja 2011 di sini, Sabtu.

Selain seorang pekerja cemerlang, Mahadzir juga cemerlang dalam sukan dan rekreasi di mana beliau juga pernah menjuarai pelbagai pertandingan catur di dalam dan luar negeri.

Antaranya mewakili Malaysia pada Sukan Para Asean ke-4 di Korat, Thailand pada 2008 dan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Catur Peringkat Asia di Mumbai, India pada 2003.

Beliau yang tinggal di Rawang juga presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perdagangan (NUCW) Bank Pembangunan Malaysia Berhad selama duapenggal sejak 2006.

Ketika ditemui wartawan, Mahadzir yang bersyukur dengan penganugerahan itu memberitahu bahawa beliau tidak melihat kecacatannya sebagai penghalang dalam hidup.

"Saya tidak anggap saya OKU, apa yang boleh dilakukan oleh orang upaya, saya sentiasa berusaha untuk melakukannya seperti mana yang dapat dilakukan orang upaya.