Tuesday, 20 December 2011

Pelajar Pekak Politeknik dituntut membaiki diri

Oleh Amir Hamidi
25 November 2011
"Mereka tahu akan cara-cara untuk menarik perhatian seseorang yang disukai ataupun diminati. Mereka juga mengetahui jalan untuk mendapatkan telefon bimbit. Akhirnya mereka telah berjaya melakukan kedua-dua perkara tersebut. Namun demikian, mereka tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka mempunyai motivasi diri yang telah mendorong mereka berbuat sedemikian. Mereka tersilap mengertikan motivasi sebagai perkongsian ilmu dan hanya terdapat dalam program aktiviti".
Penulis membuat rumusan yang sedemikian sebaik sahaja menyelesaikan pengendalian salah satu sesi ceramah di Agrotek Garden Resort, Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor pada pagi tadi.
Ceramah itu merupakan sebahagian daripada program Team Building for Gifted Young Leaders Politeknik Malaysia yang dianjurkan oleh Politeknik Johor Bahru.
Ketibaan penulis yang diiringi oleh pemandu jabatan, Hairul Hazlim disambut oleh Halimah Tusa'diah binti Paimon, pensyarah pendidikan khas dan seterusnya dibawa bertemu dengan 67 orang pelajar Pekak yang mewakili kelima-lima politeknik dari Perak, Selangor, Johor, Perlis dan Sabah.
Menurut Halimah, kekurangan motivasi diri merupakan cabaran utama yang perlu ditangani memandangkan mereka merupakan pelajar institut pengajian tinggi yang dihendaki berdaya saing dan tidak lagi merupakan pelajar sekolah.
Penulis dijemput menyampaikan ceramah yang berkisar pada kefahaman mengenai motivasi diri, tanggungjawab penuntut Pekak dan strategi-strategi menetapkan matlamat dalam jangka masa panjang dan pendek.
Untuk mengukuhkan persembahan ceramah dan mengurangkan kejemuan para peserta, penulis memilih kedua-dua klip video yang mengisahkan kejayaan bangsa Pekak di negara ini dan luar negara terutamanya yang tidak berpendidikan tinggi.
Mereka benar-benar tertarik oleh kisah-kisah berbahasa isyarat yang ditayangkan dan menyatakan hasrat dan keazaman untuk melakukan perubahan terhadap minda dan diri mereka.
Melalui interaksi dan sesi soal jawab bersama mereka sepanjang ceramah itu, penulis berpendapat bahawa mereka perlu melakukan pembaikan dan penambahbaikan diri seperti yang diterangkan di bawah supaya mereka dapat menumpukan tenaga dengan betul untuk mengejar kejayaan.
  • Mereka hendaklah menyedari bahawa semangat, kemahiran, ilmu pengetahuan dan disiplin merupakan faktor utama yang menentukan keberkesanan usaha ke arah kejayaan. Mereka perlu memotivasikan diri sendiri tanpa paksaan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperoleh ilmu dan kemahiran, misalnya mengetahui teknik-teknik yang diajarkan dan mengingati pelbagai istilah dalam bidang teknikal di politeknik.
  • Mereka menghadapi kekurangan daya dan keyakinan diri untuk membuat ucapan awam atau menyampaikan pidato yang berkualiti. Mereka bukan sahaja teragak-agak memberikan penjelasan malahan juga berani mengeluarkan isyarat tangan “kosong” di dahi apabila diajukan soalan yang mudah. Kemahiran berpidato ini amat penting dan kritikal memandangkan mereka merupakan pemimpin Pekak di politeknik dan juga dalam pergerakan Pekak pada masa depan.
  • Mereka perlu dilatih untuk menjadi seorang yang tekun berfikir secara logikal, rasional, kritis dan kreatif. Hal ini dimestikan kerana mereka akan mendepani pelbagai konflik dalam komuniti Pekak dan juga masyarakat umum di alam kerjaya pada masa kelak. Mereka dituntut melakukan tindakan secara inovatif dalam usaha menyelesaikan setiap permasalahan dan mencapai keadaan menang-menang.
  • Mereka perlu dibimbing dan disedarkan untuk membentuk gerakan atau badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan pelajar Pekak politeknik. Dengan hal sedemikian, suara mereka dapat didengar oleh pihak kerajaan dan seterusnya diberikan apa-apa bantuan dan sokongan untuk menjalankan program dan kegiatan mereka.
Diharapkan agar mereka dapat mempelajari dan menghayati sesuatu yang baharu daripada semua penerangan dalam sesi ceramah penulis yang berlangsung selama dua jam.
Tanggungjawab terserah kepada mereka untuk mewarnakan masa depan dengan wawasan diri yang jelas ataupun menghitamkan masa depan dengan membutakan mata dan memekakkan telinga.
Syabas kepada Halimah dan semua pihak politeknik yang telah mengaturkan program yang begitu bermakna dan berfaedah kepada seluruh penuntut Pekak.

untuk MY GIFTED STUDENTS.....korang wajib baca nihhh, untuk maklumat lanjut sila layari http://www.amir-hamidi.name.my.....

No comments:

Post a Comment